Kesilapan adalah milik setiap insan. Jika tiada kesilapan, bukan manusia namanya. Bukan aku mahu menuju atau menembak sesiapa. Sekadar menyatakan kenyataan yang sangat nyata. Ah, lewah.
Sesudah ditegur, aku baru menyedari aku tidak menunaikan janji. Maaf. Hanya satu perkataan sahaja. Tidak dapat aku melewahkannya lagi.

Tika 14 November lalu aku bersama saudara Naqib dalam perjalan ke bandar Wellington. Seawal 5 pagi kami bangun dan bertolak ke stesen atas bantuan saudara Khai. Langit sungguh indah pagi itu. Setibanya di Stesen Keretapi Addington, kami bergambar seketika bersama monumen dihadapan stesen tersebut. Lagipun, kaunter tiket masih tidak buka lagi. Inilah kali pertama aku datang ke stesen yang buka lebih lewat dari ketibaan penumpang-penumpang.
Sesudah beg-beg ditarik ke dalam stesen, lebih ramai manusia membanjiri stesen tersebut. Semua golongan ada. Yang muda, yang tua. Yang kecil pun ikut bersama.
Kami akan menaiki keretapi dari Christchurch ke Picton. Untuk melengkapkan perjalanan ini, kami akan menaiki feri dari Picton ke Christchurch. Itu semua termasuk dalam tiket yang dibeli untuk perjalanan TranzCoastal dan Interislander. Naqib beli sehala manakala aku beli dua hala. Pada mulanya aku mahu pulang dengan kapal terbang namun malangnya tiket-tiket yang ada sungguh mahal dan harganya melebihi tiket sehala keretapi-feri yang aku beli ini. Jadi, aku akan menaiki keretapi dua kali.
Sesudah kaunter tiket dibuka, semua mengerumuninya bagai semut jumpa gula. Kami membawa bagasi ke gerabak bagasi dan masuk ke gerabak masing-masing. Kedua-dua tiket perlepasan di gerabak W.
Setelah beberapa minit duduk dan melihat sebentar persekitaran gerabak, ada pengumuman dari staf yang menjelaskan perjalanan akan bermula. Seperti biasalah, ada perkenalan dan penjelasan akan segala yang perlu. Kemudian, Keretapi pun mula menjalankan tugasnya.

Pemandangan yang pertama aku lihat adalah sungai Waimakariri. Sungai ini lebar dan kelihatan seperti pantai yang surut. Sungai ini bermula dari Southern Alps di sebelah barat merentasi Canterbury Plains (Aduh, pening aku untuk mencari perkataan Melayunya namun akhirnya gagal. Ah, pakai aja bahasa Inggerisnya!) dan berakhir di Lautan Pasifik di sebelah timur. Waimakariri adalah gabungan dua perkataan Maori iaitu 'Wai' yang bermaksud air dan 'makariri' yang bermaksud sejuk. Indah. Sungguh.
Kemudiannya, aku dihidangkan dengan pemandangan 'Saltwater Creek' (Aduhai, gagal lagi!). Muara sungai ini lebih lebar dan juga kelihatan bak pantai surut. Tanahnya subur dipenuhi tumbuh-tumbuhan.
Selepas itu, keretapi ini merentasi Pantai Leithfield dan Pantai Amberley sebelum tiba di Kaikoura. Tiada gambar untuk kedua-dua pantai tersebut kerana tika itu kami sedang berbual-bual barangkali. Kaikoura adalah tempat yang bemula dengan industri pemburuan ikan paus dan juga udang galah rasanya (ini kerana perkataan Inggeris untuk Kaikoura adalah 'Kai' bermaksud makanan dan 'koura' bermaksud udang galah).
Pemandangan Lautan Pasifik sebelum sampai di Kowhai.
Di stesen Kaikoura. Berhenti sekejap sahaja.
Sesudah sampai di Kaikoura, perjalanan diteruskan ke perhentian Seddon. Sepanjang perjalanan ini, Lautan Pasifik sentiasa di sebelah kanan dan 'Southern Alps' di sebelah kiri melengkapkan pemandangan. Sungguh. Tidak terlambang dengan kata-kata. Mungkin kerana itu perenggan ini pendek.
Tasik Grassmere. Semacam tapak perlombongan timah.
Sebelum beberapa minit mendekati Seddon, pemandu keretapi menjelaskan tentang Tasik Grassmere. Tasik ini adalah ibarat stor untuk bekalan garam di New Zealand. Pemandu juga menjelaskan tentang proses pembuatannya dan lain-lain hal tentang tasik tersebut. Setibanya di Seddon, seperti biasa pemandu menjelaskan tentang biografi penduduk dan sebagainya. Seketika sahaja di Seddon. Terus keretapi bergerak ke Blenheim.
Setibanya di Blenheim, pemandu menjelaskan bahawa ada masalah berlaku di landasan antara Blenheim dan Picton menyebabkan semua penumpang diminta untuk menaiki bas yang disediakan ke Picton. Sempat aku mengeluarkan kad pakau dari beg. Takut-takut bosan di dalam feri.
Seusai di Picton, terus kami menaiki feri dan menanti waktu untuk feri bergerak. Tiada masa untuk kami berjalan keliling Picton kerana sela waktunya sungguh singkat. Waktu itu matahari sudah tegak. Sudah Zohor barangkali.
Aku mengikut Naqib mencari tempat kesukaannya. Katanya, memang sesuai tempat ini untuk tidur. Sesuailah, kerana kami kepenatan.
Feri yang kami naiki bernama Kaitaki. Nama kapal itu dialih bahasa dari nama Inggerisnya, 'Challenger'. Feri ini adalah yang terbesar di New Zealand. Feri ini juga yang terbesar antara ketiga-tiga feri kendalian syarikat tersebut. Perjalanan akan mengambil masa 3-4 jam. Feri ini akan berlepas dari teluk Picton dan tiba di perlabuhannya di Wellington. Kebanyakan waktu kami di feri dihabiskan dengan permainan pakau. Handal sungguh Naqib. Bangkrap aku berulang kali.
Jangan risau. Itu bukan wang sebenar walaupun kami berada di tempat yang sesuai untuk bermain pakau. 'Wang' yang kami gunakan adalah kupon-kupon dan kad-kad yang penuh dalam dompet kami.
Selang beberapa jam, aku sedar dari tidur selepas kalah beberapa kali dengan Naqib dalam pakau. Feri sedang mendekati 'mulut' Pulau Utara. Nama Maori untuk Wellington adalah banyak dan salah satu namanya yang agak panjang ialah Te Upoko O Te Ika A Māui bermaksud 'kepala ikan Māui'. Adalah dipercayai bahawa Pulau Selatan adalah bot yang dinaiki Māui dan Pulau Utara adalah ikan yang dipancingnya. Maka, bertepatan dengan kisah tersebut, Wellington adalah mulut Pulau Utara.
Angin kuat menyapa feri sedang feri yang kami naiki memasuki perairan teluk Wellington. Selain terkenal Wellington akan kisah mitos itu, angin yang kuat juga adalah teman sehidup sematinya. Sungguh, tingkap adalah penting di sini. Angin kuat di Wellington sungguh kuat.
Setibanya kami di pelabuhan, kami solat sebentar dan menanti tuan rumah untuk menjemput. Terima kasih Syakirin, Syaza, Fidry, Ayu, Awien, Nagesh, Nanad dan Huda. Jasa kalian sungguh tidak aku lupakan.